KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji disiplin dan semangat berpasukan yang dipersembahkan pemainnya untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, biarpun ketinggalan 1-2 pada suku akhir pertama, kemenangan 4-0 menerusi agregat 5-2 ke atas Terengganu FC (TFC) sememangnya dinantikan beliau.
“Malam ini (tadi), pasukan kembali menemui sentuhan seperti yang dipersembahkan pada awal musim tetapi di penghujung pusingan pertama Liga Super, kita tidak begitu menjadi.
“Namun, kita bangkit daripada dua kekalahan untuk meletakkan pasukan pada kedudukan lebih baik, sekali gus mara ke separuh akhir Piala FA.
“Sebenarnya, saya percaya kemenangan boleh berlaku kepada Pahang cuma keputusan dan jaringan gol saya bimbangkan selepas jaringan pertama dihasilkan tetapi pemain mempamerkan persembahan menyakinkan,” katanya.