KETUA jurulatih Thailand, Worrawoot Srimaka, memberi amaran skuadnya sudah bersedia mempertahankan pingat emas Sukan SEA yang dimenangi dua tahun lalu, menentang sama ada Malaysia yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.
Worrawoot, 46, jarang menghadirkan diri di sidang media sebelum ini, tampil menemui petugas media dengan penuh kegembiraan selepas pasukannya menewaskan Myanmar 1-0 pada saingan separuh akhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
“Kami bertambah mantap dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan kini kami berada di final.
“Kami sudah bersedia mempertahankan pingat emas, tidak kira siapapun lawan kami,” katanya dengan penuh yakin.
Menurutnya, menentang Myanmar bukan mudah namun pemain beraksi mengikut arahan, pantas ketika menyerang dan bertahan.
“Kami juga menghadapi masalah kepenatan ekoran jadual aksi yang begitu padat sebelum ini.
“Bagaimanapun, kami berjaya bermain mengikut rancangan dan kesabaran pemain membolehkan kami meraih gol kemenangan pada minit akhir,” kata bekas penyerang kebangsaan Thailand dan Kelantan itu.
Dalam aksi dibanjiri lautan merah penyokong Myanmar itu, pasukan Myanmar bimbingan Gerd Zeise menguasai perlawanan sejak awal menerusi gerakan berbahaya ke kubu Thailand.
Bagaimanapun, strategi bertahan Worrawoot berjaya mengekang asakan Myanmar.
Selepas separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, Thailand mengubah rentak pada babak kedua dengan mempercepatkan tempo permainan untuk memerangkap barisan belakang Myanmar.
Ketua pasukan Thailand, Chenrop Samphaodi akhirnya muncul wira apabila memecah kebuntuan pada minit-minit terakhir perlawanan hasil tandukan deras yang gagal diselamatkan penjaga gol Myanmar, Sann Sat Naing.
Thailand kini dalam misi memburu gelaran hatrik serta kejuaraan ke-16 keseluruhan Sukan SEA sejak 1959.
Sumber: Harian Metro
Apa yang penting pasukan malaysia sudah tentunya tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan thailand jika mahu menjadi jadi juara sukan sea 2017 kali ini. Malaysia pasti akan merampasnya , harap tidak sempat untuk gelaran hatrik itu.