Terlalu jauh jurang bila tengok pasukan Kobe beraksi ditempat sendiri membelasah pasukan JDT diratah-ratah. Ini terbukti apabila persembahan hebat Vissel Kobe membolehkan pasukan dari Jepun itu membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G Liga Juara Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2020 malam semalam.
Ia pastinya malam yang tidak dapat dilupakan buat Keijiro Ogawa di Stadium Masaki Park di Kobe apabila penyerang berusia 27 tahun itu berjaya membuat jaringan hat-trick bagi membantu kemenangan kelabnya.
Safawi Rashid gol saguhati.
Pemain sayap JDT, Muhammad Safawi Rasid, berjaya mencatatkan namanya sebagai penjaring apabila berjaya meledakkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan pemain dari Belgium, Thomas Vermaelen, di dalam kawasan petak penalti.
Gol yang menyusul bagi menyamakan kedudukan selepas jaringan pertama Ogawa pada minit ke-13 itu kelihatan terus membakar semangat juang pasukan juara Liga Super Malaysia, namun Vissel Kobe terus beraksi cemerlang untuk mendahului di separuh masa pertama, hasil sepakan kencang Kyogo Furuhashi tidak sampai 60 saat kemudian.