KUANTAN: Skuad Pahang tidak memandang rendah kemampuan UKM FC apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.
Malah skuad kendalian Dollah Salleh turut mengharapkan momentum kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC dalam saingan Liga Super kelmarin dapat diterjemahkan pada pertemuan dengan skuad dari Liga Perdana itu.
Bagi pemain tengah skuad Tok Gajah, Nor Azam Azih, dia bersama rakan sepasukan tidak akan memberi ruang kepada lawan melakukan asakan ke kubu pasukan.
“Saya difahamkan, UKM bukannya lawan yang mudah untuk ditewaskan dalam saingan Liga Perdana biarpun mereka berada di tangga ketujuh liga ketika ini.
“Atas faktor itu, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan kerana mereka pasti melakukan segala-galanya untuk mengisi slot suku akhir Piala FA musim ini.
“Biarpun kami berada pada prestasi terbaik, segala peluang yang ada diharap dapat disempurnakan sebaik mungkin di bahagian serangan,” katanya.
Nor Azam yang tidak beraksi pada pusingan kedua Piala FA akibat kecederaan, berkata ketajaman jentera serangan skuad itu diharap berterusan.
Katanya, gandingan dua penyerang import, Dickson Nwakaeme dan Jose Eduardo diharap terus menjadi untuk memastikan pasukan mencatat kemenangan.
“Sebagai juara bertahan, sudah pasti kami mahu mengekalkan Piala FA dan menafikan impian UKM,” katanya.