Siapa yang tak kenal dengan peledak mesin gol yang dikenali dahulunya sebagai Lions XI, iaitu pemain bola sepak nasional Khairul Amri akan meninggalkan Tampines Rovers untuk menyertai Felda FC yang beraksi dalam Liga Super Malaysia.
Amri, 34 tahun, diberikan kebenaran khas untuk menerima tawaran dari kelab itu, walau musim Liga Perdana Singapura sedang berlangsung, kerana Amri telah banyak berjasa kepada kelab dan negara, kata Tampines dalam kenyataannya pada Rabu (8 Mei).
“Langkah ini juga sesuai bagi pemain itu dan keluarganya, di peringkat kerjaya ini,” kata Tampines.
“Beliau meninggalkan kelab dengan penghargaan kami atas usahanya di padang dan sokongan dan komitmennya kepda kelab dan peminat di luar padang. Kami berharap beliau berjaya,” kata kenyataan itu lagi.
Buat masa ini, Tampines menduduki tangga keempat dalam Liga Perdana Singapura dan sedang bersaing dalam Piala AFC.
Pemain veteran berusia 34 tahun ini yang cukup dikenali dengan sentuhan jaringan cemerlangnya sama ada ketika bersama pasukan kelab mahupun skuad kebangsaan sehinggakan digelar ‘goal machine’ pernah bermain untuk Lions XII di Liga Super pada 2012, 2014 dan 2015, selain pernah membantu pasukan itu menjuarai Piala FA 2015.
Kehadirannya dilihat suntikan terbaik buat the fighters bimbingan Nidzam Jamil apatah lagi mereka merupakan pasukan dengan paling sedikit jaringan dalam Liga Super musim ini, iaitu hanya sembilan gol dalam 12 perlawanan.
Khairul Amri dilaporkan menandatangani kontrak selama setahun enam bulan dan telah melapor diri di kem pasukan pada Rabu. (semalam)
“Saya mengharungi musim yang baik ketika mewakili Lions dalam Liga Super dan menjaringkan banyak gol, tetapi dulu saya bermain di Liga Malaysia bukan berstatus tempatan atau import. Sekarang saya di sini sebagai pemain import dan sudah tentu tanggungjawab saya adalah lebih berat. Apapun saya mahu mencabar diri saya untuk mengulangi semula sentuhan ketika itu, dan lebih penting membentuk persefahaman yang baik dengan rakan sepasukan,” kata Khairul Amri.
Sementara itu bekas kelab Khairul Amri, Tampines Rovers merakamkan ucapan penghargaan di atas sumbangan pemain itu yang menjaringkan lebih 50 gol dalam lebih 100 penampilan secara keseluruhan (2008-2009, 2017-2019).
“Ia bukan keputusan mudah untuk dibuat mengambil kira cita-cita kelab ini untuk melangkah lebih jauh dalam Piala AFC selain persiapan untuk menghadapi SPL (Liga Premier Singapura) dalam beberapa bulan mendatang.
“Apapun, Amri telah menjadi pemain yang cukup berjasa buat kelab ini, dan juga pasukan kebangsaan Singapura, dengan sumbangan-sumbangan hebat yang tidak ternilai.
“Pada akhirnya ini adalah satu perpindahan yang dirasakan terbaik untuk dia dan keluarganya pada waktu ini di dalam kariernya. Justeru itu, kelab ini memutuskan untuk memberi pengecualian khas dan membenarkannya berpindah.
“Dia meninggalkan kelab dengan ucapan terima kasih dan penghargaan daripada kami mengiringinya di atas segala kerja keras di atas padang selain komitmen yang telah ditunjukkannya terhadap kelab dan penyokong kami di luar padang. Semoga dia akan terus berjaya,” menurut kenyataan oleh Tampines Rovers.
Liga Super Malaysia sedang berehat sempena Ramadan.