Kem latihan skuad kebangsaan Malaysia semalam ditamatkan lebih awal apabila keputusan untuk memendekkan tempoh latihan dari 9 hari kepada 7 hari mengikut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh FAM hari ini.
“Selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan, kita telah membuat keputusan untuk memendekkan tempoh kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru ini kepada tujuh hari iaitu berakhir pada hari ini.
“Saya berasa gembira melihat reaksi positif yang ditunjukkan para pemain dalam tempoh seminggu ini selepas setahun lebih kita tidak berkumpul bersama, selain komitmen tinggi yang ditunjukkan mereka biarpun telah mengharungi jadual padat lima perlawanan Liga Super 2021 dalam tempoh dua minggu sebelum melapor diri.
Beri Ruang Kepada Pemain Dan Kelab Buat Persiapan liga masing-masing.
“Disebabkan jadual perlawanan liga yang seterusnya agak rapat dan mengambil kira tempoh rehat pemain-pemain selepas kem latihan pusat ini, saya memberi ruang kepada pemain dan kelab untuk melakukan persiapan liga dengan lebih awal.
“Di samping itu juga, ia juga memandangkan kem latihan pusat ini tidak melibatkan sebarang perlawanan antarabangsa.
“Walaupun kem latihan pusat kali ini dipendekkan, ia tetap mencapai objektifnya iaitu saya dapat lihat para pemain masih berjaya mengekalkan corak permainan kita terutama dari segi taktikal yang mana mereka memahami cara pasukan kita bermain. Saya cukup berpuas hati.
“Saya masih dapat lihat banyak perkara positif dalam pasukan terutama pemain-pemain baharu yang cepat menyesuaikan diri serta bekerjasama sebagai satu pasukan. Persefahaman dan suasana sepanjang kem latihan pusat kali ini pun cukup baik.
Kem Latihan Bulan Mei 2021 Amat Penting
“Saya harap, apabila kita berkumpul semula pada Mei nanti, para pemain dapat datang dengan keadaan yang cukup bersedia dan bebas daripada kecederaan supaya kita akan dapat terus beri fokus sepenuhnya untuk baki tiga perlawanan Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang cukup penting menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun nanti.
“Diharap juga dengan pelepasan awal ini, para pemain dapat rehat secukupnya dan bersedia untuk kembali menyambung aksi Liga Super 2021 bersama kelab masing-masing bermula Jumaat dan Sabtu ini (2 dan 3 April 2021).
“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya, terima kasih diucapkan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka sepanjang tempoh seminggu kami menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru ini.”
Fasiliti JDT terbaik bertaraf dunia, dan harapnya pemain dapat belajar sesuatu dalam sesi latihan selama 7 hari yang berlangsung.