
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata permohonan berkenaan melibatkan fasa kelima (kehadiran penonton ke stadium dengan skala kecil) dan fasa keenam (kehadiran penonton ke stadium dengan skala besar, serta penyertaan atlet luar negara dalam kejohanan tempatan).
Beliau memaklumkan sektor sukan dan rekreasi merupakan sektor yang memberi kebenaran secara berperingkat untuk membolehkan aktiviti sukan bersambung semula susulan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.
“Saya (pernah) dulu kata bahawa, ‘exit and entry points’ untuk bola sepak ada tiga atau empat, mungkin kita boleh sediakan prosedur operasi standard (SOP), namun tidak ada lagi negara di dunia yang telah membenarkan kejohanan atau perlawanan bola sepak yang mempunyai penonton.
“Jadi, saya fikir kami mulakan secara berperingkat dan beransur-ansur. Kami tak mahu buka terlalu cepat, akan berlaku kenaikan mendadak penularan (kes COVID-19), dan akhirnya (wujud) kluster sukan yang menghakis keyakinan bukan sahaja rakyat, tetapi juga pihak kerajaan untuk memberi kebenaran kepada kami (beroperasi semula),” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan fasa ketiga sektor sukan dan rekreasi, berkuatkuasa bermula Rabu lalu, yang menyaksikan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal, selain penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan tiada bersentuhan fizikal tanpa penonton, dibenarkan.
Fasa keempat yang bermula 15 Ogos depan pula akan membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan bersentuhan fizikal tanpa penonton, antaranya saingan Liga-M.
Dalam perkembangan berasingan, Reezal Merican memaklumkan satu pasukan petugas akan diwujudkan dalam tempoh terdekat, bagi mengkaji semula keberkesanan Program Podium yang dimulakan pada 2015.
Beliau menjelaskan pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi merealisasikan hasrat Malaysia meraih pingat emas sulung pada Sukan Olimpik itu, akan diketuai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, untuk menilai semula struktur program berkenaan.
Ditanya mengenai Program ‘Road to Tokyo’ (RTT) 2020, Reezal Merican berkata, program berkenaan akan diteruskan seperti biasa di bawah pengawasan Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN.
— BERNAMA