
KUALA LUMPUR: Hukuman gantung dua perlawanan dan denda RM10,000 ke atas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa kelmarin disifatkan wajar, namun jumlah penggantungan itu dilihat agak pelik.
Demikian pandangan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah ketika mengulas hukuman dikenakan ke atas pemain kacukan itu atas tindakannya menyentuh dada pengadil ketika perlawanan menentang Perak FC, 21 Mac lalu

Katanya, agak menghairankan hukuman penggantungan berjalan ‘sekerat-sekerat’ di mana hanya penggantungan satu perlawanan dikenakan manakala satu lagi penggantungan ‘ditangguh’ tertakluk kepada kelakuan baik pemain itu dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima.
“Untuk hukuman denda, saya rasa berpatutan dan rayuan pun boleh dibuat. Tetapi kadang kala denda itu boleh diturunkan atau dinaikkan bergantung kepada Jawatankuasa Rayuan.
“Tetapi untuk jumlah penggantungan perlawanan seperti dikenakan itu, saya berpendapat agak pelik kerana satu secara automatik dan satu lagi ditangguhkan pula mengikut keadaan pada masa depan.
“Kalau dikatakan dua perlawanan digantung, maka dua perlawananlah penggantungan perlu dilakukan. Saya rasa tidak pernah lagi hukuman penggantungan dibuat seperti ini,” katanya.