KUALA LUMPUR: Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Garuda bimbingan Yeyen Tumena yang mengharungi perjalanan lebih 1,200 kilometer itu terpaksa pulang hampa apabila gagal membawa sebarang mata sejak kali terakhir mereka memenangi perlawanan di Malaysia adalah 14 tahun lalu pada aksi Piala Tiger 2005.
Lebih membanggakan, Harimau Malaya menguasai ‘Derbi Nusantara’ itu dengan ‘agregat’ 5-2 selepas mereka turut menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta sebelum ini dan Indonesia terpaksa akur ‘terbenam’ di tangga tercorot Kumpulan G kerana tewas semua lima perlawanan.
Babak pertama menyaksikan Indonesia lebih banyak bertahan namun mereka jelas berbahaya menerusi serangan balas pantas yang beberapa kali berjaya memerangkap pertahanan Malaysia.
Bagaimanapun Malaysia memanfaatkan situasi bola mati apabila sepakan percuma yang diperolehi pada minit ke-29 disudahkan dengan cantik oleh Safawi Rasid untuk tuan rumah mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi gamat pada minit ke-72 apabila gawang Indonesia dibolosi buat kali kedua selepas rembatan deras Safawi menewaskan Muhammad Ridho yang jelas tidak dapat berbuat apa apa untuk menyelamatkan percubaan terbabit.
Indonesia mendapat sedikit harapan untuk bangkit selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82 namun segalanya serba tidak menjadi buat pelawat apabila penjaga gol gantian, Farizal Marlias menangkap kemas sepakan penalti Osas Marvellous Ikpefua.