PASIR GUDANG: Perasaan gembira terpancar di wajah pengendali Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ervin Boban apabila pasukan bimbingannya mara ke final Piala Cabaran selepas menewaskan Terengganu FC II (TFC) 4-2 secara agregat pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.
Bagi pengendali kelahiran Croatia, layak ke final amat bermakna buat semua pemain skuad Merah Biru selepas gagal menjuarai Liga Perdana apabila menamatkan saingan di tangga kedua dan malam tadi kemenangan 2-1 ke atas TFC II bagaikan menutup kedukaan itu.
“Sudah tentu saya gembira dan pemain wajar mendapat pujian kerana mereka beri sepenuh komitment dalam perlawanan itu malah kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang kerap memberi sokongan kepada kami.
“Apapun kami akan menunggu siapa lawan di final sama ada UKM FC atau Sarawak dan tidak dinafikan kedua-dua pasukan itu memiliki kekuatan tersendiri, kami perlu bekerja keras luntuk membuat persiapan.
“Mengenai persembahan pada aksi menentang TFC II, saya sebenarnya kurang berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan pada babak pertama yang agak longgar tetapi pada babak kedua kami mempamer aksi sebenar dan berpuas hati dengan barisan benteng yang berjaya mengekang asakan lawan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Nicolas Fernandez dan Rozaimi Abd Rahman memainkan watak penting buat skuad Merah Biru apabila jaringan kedua-dua pemain itu memastikan pasukan berkenaan mara ke final buat kali pertama kali walaupun jaringan Dechi Marcel merapatkan jurang gol.
Ditanya mengenai persembahan Mohamad Ghaddar yang terlepas tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada babak pertama, Boban menegaskan pemain import dari Lubnan itu baru pulih daripada kecederaan namun tetap bersemangat untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Ghaddar tidak menjalani latihan selama 11 hari dan dia hanya berlatih lima sesi sahaja, untuk aksi menentang TFC II saya memilihnya beraksi berbanding Darren Lok yang tidak beraksi hampir tujuh bulan selepas pulih daripada kecederaan.
“Ramai yang tidak tahu situasi kami hadapi dan mengkritik apabila pemain tidak beraksi dengan baik. Dalam bola sepak kecederaan dan persembahan kurang konsisten sememangya lumrah dan kami akan sentiasa beri yang terbaik dan persiapan lebih rapi untuk aksi final,” kata Boban.