Perkara itu mendapat kelulusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membenarkan perlawanan kedua aksi timbal balik antara Timor Leste dan Malaysia pada 11 Jun diadakan di Kuala Lumpur.

Selain itu, skuad Harimau Malaya juga boleh menarik nafas lega apabila AFC turut memberi lampu hijau mengenai pertukaran tarikh perlawanan pertama antara Malaysia dan Timor Leste yang ditetapkan pada 6 Jun (Hari Raya kedua) dipinda kepada 7 Jun.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam ketika ditemui hari ini mengesahkan perkara berkenaan.

“Pada 30 April iaitu tarikh akhir, kami di FAM sudah terima surat daripada Timor Leste untuk menggunakan venue Malaysia sebagai ‘home match’ kepada Timor Leste pada 11 Jun.

“Dan, semalam FAM juga terima surat daripada AFC yang mengatakan mereka telah terima cadangan venue daripada Timor Leste serta mengesahkan FAM boleh ubah tarikh perlawanan dari 6 kepada 7 Jun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Piagam Suparimau FAM di Kompleks Sukan PKNS di sini hari ini.

Beliau berkata pengesahan sudah pun diterima dan stadium yang dicadangkan oleh FAM adalah Stadium Nasional Bukit Jalil untuk kedua-dua perlawanan.

“Pada pertemuan semalam, saya juga berbincang dengan Presiden Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) mengenai logistik dan tarikh pasukan Timor Leste tiba, semua sudah dipersetujui antara FAM dan Timor Leste. Jadi tiada masalah sekarang,” katanya.

Timor Leste terpaksa menyediakan tempat baharu untuk perlawanan timbal balik ekoran Stadium Perbandaran Dili, tempat yang bakal digunakan di negara berkenaan tidak melepasi syarat untuk mengendalikan sesebuah perlawanan antarabangsa.

Sebelum ini, skuad The Rising Sun pernah menjadikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebagai ‘rumah’ mereka ketika aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019.

Pada edisi kali ini, Malaysia yang berada di ranking ke-168 dunia dan ke-35 daripada 46 negara Asia, serta berkedudukan 12 pasukan paling rendah dalam kelayakan, perlu bermain pada pusingan pertama.

Enam pasukan yang menang akan menyertai 34 pasukan tertinggi di Asia dalam pusingan seterusnya termasuk juara Kejuaraan Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar. Kesemua enam perlawanan itu adalah perlawanan pertama untuk kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di seluruh dunia. – BERNAMA