Pada 20 Februari lalu, melalui mesyuarat ahli Lembaga Pengarah MFL, MFL telah meluluskan untuk memansuhkan Manual Syarat Pemain Import yang sebelum ini menetapkan pemain naturalisasi harus beraksi selama lima tahun selepas tempoh naturalisasi sebelum layak untuk didaftarkan sebagai PEMAIN TEMPATAN.

Alasan yang diberikan oleh MFL adalah keputusan diambil selepas mendapati manual tersebut tidak lagi praktikal dan sesuai untuk diaplikasikan di Liga Malaysia berdasarkan perkembangan semasa bola sepak Malaysia. Kejayaan Mohamadou Sumareh membantu meningkatkan mutu skuad kebangsaan dan peningkatan mutu permainan Liga Malaysia selepas kemasukan pemain import pasti alasan yang wajar diterima untuk menyaksikan pemansuhan Manual tersebut.
Hasil pemansuhan tersebut, dapat kita saksikan Liridon Krasniqi berjaya didaftarkan sebagai pemain tempatan dan ini memberikan ruang buat pasukan JDT mengekalkan pemain Import sedia ada. Kesannya, pasukan-pasukan lain juga berpotensi untuk menaturalisasikan beberapa pemain port berkualiti mereka sebagai pemain tempatan pada musim mendatang.
Berbalik pula kepada situasi terkini:
Kedah FA melahirkan hasrat untuk mendapatkan sebanyak 1000 keping tiket diberikan kepada mereka untuk perlawanan Piala Sumbangsih 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, MFL tampil dengan jawapan balas.
Pihak MFL menegaskan bahawa pembahagian tiket untuk penyokong pasukan tuan rumah dan pelawat adalah mengikut manual yang ditetapkan. Menurut manual tersebut:
1. Stadium yang berkapasiti si bawah 20,000 akan memperuntukkan 300 keping tiket kepada penyokong lawan.
2. Stadium yang berkapasiti 20,000-40,000 akan memperuntukkan 500 keping tiket kepada penyokong lawan.
3. Stadium yang berkapasiti 40,000-80,000 akan memperuntukkan 1000 keping tiket kepada penyokong lawan.
Persoalannya, mengapakah MFL tidak mengambil tindakan yang sama ketika mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL diadakan? Permintaan daripada pasukan lawan untuk tiket tambahan bukanlah suatu isu baharu. Isu ini adalah isu ulangan yang berlaku saban tahun. Isu ini berlaku kerana tindakan MFL yang meletakkan penindihan jadual antara Piala Sumbangsih dengan jadual perlawanan pertama MSL.
MFL wajar cakna dan membuat perubahan serta merta sesuai dengan alasan yang diberikan oleh mereka ketika memansuhkan Manual Syarat Pemain Naturalisasi. Jika MFL mengatakan bahawa penangguhan dilakukan akibat perkembangan semasa Liga Malaysia, MFL seharusnya wajar sedar bahawa perlawanan pertama Liga Malaysia melibatkan pertembungan pasukan gergasi selalu menjadi tumpuan, apatah lagi, ianya melibatkan perebutan piala.
MFL seharusnya telah ‘masak’ dengan situasi ini. Mereka wajar menghapuskan manual pembahagian tiket yang sudah lapuk tersebut seiring dengan perkembangan semasa dan sambutan hangat yang diberikan oleh peminat ketika perlawanan melibatkan jadual.
MFL juga wajar memberikan 5% tiket kepada pasukan lawan seperti yang disyorkan FIFA dan dipraktikkan di liga di Eropah. Jika syor tersebut digunapakai di Malaysia, Kedah sekurang-kurangnya boleh mendapatkan 1500-1800 keping tiket untuk Stadium Sultan Ibrahim yang berkapasiti 35000.
MFL wajar bertindak pantas demi meneruskan kemeriahan Liga Malaysia.